07 December 2007

Kampung Baru yang unik!

Sebuah perkampungan yang "diperbandarkan" ditengah-tengah bandar Kuala Lumpur.....tetapi Kampung Baru tetap bertahan disitu.

Dan harapanku agar Kampung Baru ini terus bertahan dan wujud ditengah-tengah bandar Kuala Lumpur.

Gambar disebelah kanan ini mengingatkan aku pada cerita dalam filem-filem P.Ramlee dulu - Tiga Abdul, Madu Tiga dan lain-lain lagi.

Papan tanda perniagaan pada zaman tersebut masih lagi wujud didalam dunia yang semakin moden dan serba canggih ini.


Dan akibat terlalu teruja dengan papan tanda tersebut, aku dan Yati mengambil keputusan untuk mengabdikan "wajah" papan tanda tersebut didalam kamera digital dan telefon bimbit.

Tapi hakikatnya pada hari ini, kedai tersebut bukan lagi hanya sekadar menjual atau menjahit atau "tukang" songkok saja sebagai mata pencarian demi untuk meneruskan kelangsungan hidup di bumi Allah ini. Pemilik kedai terpaksa menambahkan barang-barang yang lain sebagai barangan jualan dikedainya.

Manakala gambar serkap ayam disebelah bawah ini pula, dirakamkan dihadapan kedai Mee Jawa yang terkenal sedap di Kampung Baru (sebenarnya aku sendiri pun dah lama tak tengok serkap ayam ni! huhuhu).

Teringat zaman aku kecik dulu di Bagan Datoh, arwah atuk aku memang seorang yang serba boleh! Bagilah apa saja kerja padanya, pasti hasil yang diberikan memang memuaskan. Aku terkenang pada serkap ayam arwah atuk. Malah aku ada kenangan mengejar ayam keliling rumah bersama dengan adik lelaki dan sepupu aku hanya semata-mata arwah atuk suruh kami, cucu-cucunya tangkap ayam-ayam yang bakal disembelih dan diletakkan dibawah serkap ayam tersebut agar senang bila tiba masa untuk disembelih nanti.

Adik lelaki aku punyalah nakal, siap bawak serkap ayam ni semasa operasi mengejar ayam-ayam tersebut kerana katanya susah sangat nak tangkap pakai tangan.

Tapi aku awal-awal lagi dah "give-up" nak berlari kejar ayam-ayam tu kerana keadaan kampung Parit 2, Sungai Sumun,Bagan Datoh yang "lecah" pada waktu tu. Aku tak suka sangat main dengan selut dan lecah pada waktu kecil dulu kerana aku geli dengan selut dan lecah yang akan melekat dibadan.

Argh! Kenangan sewaktu kecil timbul kembali sewaktu aku lepak dengan Yati dan ibunya di Kampung Baru pada malam minggu yang lepas.

Ada beberapa lagi gambar yang tak sempat aku nak "posted"kan disini.....

No comments:

Post a Comment